Ianya di mana-mana sahaja!!

Pernahkah anda merasa NADI sendiri? Dapatkah anda benar-benar rasa denyutan nadi tersebut? Baik. Jom kita rasakan nadi masing-masing. Menggunakan 2 jari (jari telunjuk dan jari hantu), sentuh bahagian tengah tulang rahang di antara dagu dan cuping telinga. Rasa? Syabas sekiranya anda berjaya mencari nadi di situ. Persoalannya, wujudkah nadi di bahagian tersebut?

Masyarakat umum mengetahui bahawa nadi terletak pada pergelangan tangan dan leher. Namun amat sedikit daripada kita yang tahu bahawa nadi itu wujud di pelbagai tempat lain pada badan. Ada yang lebih kuat dan ada yang lebih halus denyutannya berbanding nadi di pergelangan tangan. Untuk memahami mengapa nadi boleh wujud di bahagian- bahagian lain badan, kita perlu tahu akan apa itu nadi.

Badan kita mempunyai jaringan salur darah yang tidak terkira banyaknya dan kesemua saluran darah ini bermula daripada jantung itu sendiri. Maka, apabila jantung berdegup, darah akan disalurkan ke dalam semua saluran darah (arteri) dan tekanan daripada pengaliran darah ini lah yang membuatkannya berdenyut dan dirasa sebagai NADI. Justeru, mana-mana saluran darah arteri yang hampir dengan kulit boleh dirasakan denyutan nadi padanya. Berikut merupakan bahagian- bahagian badan yang ada denyutan nadi beserta namanya.