Asap musnahkan paru-paru

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

KEBAKARAN akan membebaskan pelbagai jenis toksik yang berbahaya pada sistem tubuh. - Gambar hiasan

March, 2011- Seorang ibu dan anak perempuannya ditemui mati disyaki lemas akibat terhidu asap tebal selepas terperangkap di dalam rumah mereka yang terbakar di Taman Sri Sinar, Kepong, Kuala Lumpur. Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, kedua-dua mangsa ditemui oleh pasukan bomba dan penyelamat di dalam sebuah bilik tidur rumah teres terbabit. Mayat mangsa, Ong Ean Lee, 33, ditemui di atas katil manakala kanak-kanak perempuan, Artina Lake Xin Yu, 2, ditemui di atas tilam di lantai tidak jauh dari lokasi mangsa pertama dijumpai. Kedua-dua mereka yang berpakaian lengkap itu ditemui dalam keadaan baik dan tidak mengalami kecederaan. Penguasa Kanan Bahagian Penyiasatan Kebakaran dan Pendakwaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ismail Yasin menafsirkan kejadian lemas asap sebagai situasi penghasilan asap yang memenuhi ruang sesuatu kawasan sehingga menyebabkan kandungan karbon dioksida melebihi paras 16 peratus.

Pengsan 

 
• Udara yang disedut oleh manusia terdiri daripada oksigen dalam kapasiti lebih kurang 20.7 peratus, gas nitrogen 79 peratus dan karbon dioksida 0.3 peratus. 

• Namun, semasa kebakaran, kadar oksigen dalam udara berkurangan sehingga ke paras 16 atau 14 peratus. 

• Apabila mencapai kadar tersebut, badan manusia tidak mampu bertahan seterusnya menyebabkan pengsan, Setiap kebakaran bahan menghasilkan tindak balas berbeza termasuk rantaian tindak balas yang akan mengganggu sistem saraf, pembakaran pepejal seperti kayu akan membebaskan gas alkohol, aseton, metana dan wap air. Kesemua jenis gas ini bersifat toksik dan mampu mengganggu sistem tubuh. Semasa kebakaran, asap yang mula-mula terhasil bersifat panas dan mudah meruap ke atas ruang bilik atau bangunan. Namun, apabila kebakaran berterusan, asap sedia ada yang menyejuk dan berjisim lebih berat ditolak ke bawah oleh asap baru yang panas. Bagaimanapun, tekanan udara yang wujud akan menyediakan satu ruang lebih kurang 0.5 meter dari paras lantai. 

• Zon selamat pada ruang udara yang paling bawah ini adalah yang paling bersih semasa kebakaran. Menurut rakan sepasukan Ismail yang mengendalikan bahagian Operasi di jabatan yang sama, Mohd. Desa Zainon, faktor fisiologi badan manusia menentukan sejauh mana mangsa mampu bertahan dalam menghadapi situasi genting lemas asap.
 
• Jika mangsa tidak mempunyai daya tahan yang kuat, amat mudah untuknya pengsan seterusnya membenarkan dirinya terbakar.
 
• Begitu juga jika kandungan toksik daripada bahan-bahan yang terbakar tinggi, maka tempoh mangsa bertahan akan berkurangan berikutan kematian sel-sel dalam badan. Kes lemas asap disifatkannya mempunyai mekanisme yang sama dengan lemas di dalam air iaitu kedua-duanya disebabkan pengurangan oksigen di dalam paru-paru sebaliknya telah diisi oleh sama ada air mahupun gas beracun.

Kritikal

Pakar Respiratori, Hospital Pantai Ampang, Dr. Zal Abdul Rahim mengakui kesan asap boleh menyebabkan pelbagai keadaan klinikal yang kritikal seperti eksaserbasi asma bronkus atau bronkitis yang sekali gus mendorong kegagalan sistem pernafasan. Namun, kerosakan paru-paru yang disebabkan oleh sedutan asap berlebihan bergantung pada komposisi asap dan pendedahan kepada haba.

• Haba akan menyebabkan kecederaan seumpama melecur pada saluran pernafasan dan ia selalunya berlaku apabila mangsa terperangkap dalam api yang besar.

• Kesannya, mangsa sukar bernafas, serak suara, nafas berdehit, kahak berwarna kehitaman dan mengalami kesan terbakar pada wajah dan saluran pernafasan, ujarnya. Bagi mangsa yang terselamat daripada kejadian hampir lemas dalam asap tebal pula kesannya bergantung pada jenis kebakaran yang berlaku kerana kebakaran berbeza menghasilkan bahan toksik yang berlainan. 

• Kerosakan teruk dan kekal pada sistem pernafasan tidak mustahil berlaku akibat terhidu asap beracun dan haba yang mampu membakar tisu paru-paru dan salur pernafasan, tambahnya. Saranan Zal ketika berdepan dengan situasi cemas itu ialah buka semua tingkap supaya asap boleh keluar dan tutup ruang di bawah pintu dengan selimut sekiranya terperangkap. Bantuan pernafasan juga perlu diberikan kepada mangsa yang terhidu asap tebal untuk menambah kandungan oksigen dalam paru-paru.
 
 
 
 
www.asec.com.my