BANTUAN PERNAFASAN CPR: OKSIGEN ATAU KARBON DIOKSIDA?

“ Tolong!!!!! Anak saya lemas” , teriakan seorang wanita memecah riuh-rendah di kolam renang sebuah hotel.
Adam segera bertindak menyelamatkan remaja yang lemas itu dan memulakan CPR sejurus mangsa dibawa ke tepi kolam. Segala ilmu pertolongan cemas yang dipelajari tempoh hari mula tertayang kembali di benaknya. D.R.C.A.B diulang berkali-kali di dalam fikiran. Si ibu masih lagi merayu agar anaknya diselamatkan. Usai 30 tekanan dada diberikan, Adam nekad untuk meneruskan dengan bantuan pernafasan.
Ketika itu, terdengar satu suara dari belakang, “Cepat! Oksigen dalam badan dia semakin hilang. Berikan oksigen”. Adam terhenti serta merta. “Oksigen? Bukankah karbon dioksida yang akan aku hembus ke dalam mulutnya nanti?”, getus Adam di dalam hatinya.
Oksigen atau karbon dioksida? Pernahkah anda terfikir tentang perkara ini sewaktu CPR dilakukan? Hampir semua daripada kita sudah terlalu biasa dengan pengetahuan bahawasanya sewaktu bernafas, paru-paru akan menyedut gas oksigen dan akan menghembus keluar gas karbon diosida. Jika ini yang menjadi pegangan, maka tidakkah bantuan pernafasan CPR itu sebenarnya sia-sia?
Jawapannya TIDAK. Bantuan pernafasan CPR sememangnya efektif dan berpeluang tinggi untuk membantu memulihkan mangsa kerana hembusan udara yang diberikan mengandungi peratusan oksigen yang lebih dari mencukupi untuk paru-paru mangsa. Untuk memahami isu ini, kita perlu melihat kepada asas sains berkenaan gas-gas yang terkandung di dalam udara atmosfera.
Udara mengandungi lebih kurang 78% nitrogen, 21% oksigen, 1% argon, 0.04% karbon dioksida dan 0.5% wap air.
Setelah memasuki paru-paru, udara yang dihembus keluar mengandungi kandungan gas- gas yang hampir sama keseluruhannya melainkan dua gas penting, iaitu oksigen dan karbon dioksida.
Tidak kesemua 21% oksigen yang disedut masuk tadi akan menyerap ke dalam badan malahan yang akan dihembus keluar adalah lebih banyak iaitu lebih kurang 16.4%. Manakala, karbon dioksida akan meningkat kepada 4.4% di dalam udara yang dihembus keluar ini.
Justeru, tahu lah kita bahawasanya oksigen merupakan satu komponen gas yang turut hadir di dalam hembusan nafas ketika CPR dilakukan. Maka, setiap orang perlu berusaha sebaiknya untuk melakukan CPR yang berkualiti tinggi termasuklah memberi bantuan pernafasan mulut ke mulut seandainya mempunyai alat pelindung yang bersesuaian. Oksigen dan karbon dioksida berpisah tiada.
www.asec.com.my