Walaupun Tulangnya Patah, Ku teruskan Jua

Sering kali, kita didedahkan dengan aksi-aksi penyelamatan lebih-lebih lagi aksi “Cardiopulmonary Resuscitation” atau lebih dikenali sebagai CPR. Tekanan yang dilakukan oleh seseorang penyelamat ke atas dada mangsa sewaktu CPR haruslah mencapai kedalaman sekurang-kurangnya 2.0 inci dan tidak melebihi 2.4 inci.
Sudah tentu kedalaman ini seandainya difikirkan dengan teliti mampu menimbulkan persoalan sama ada ianya akan mematahkan tulang dada si mangsa atau tidak.
Persoalannya, perlukah tekanan dada diteruskan setelah kepatahan tulang rusuk dirasakan berlaku? Adakah keadaan akan menjadi lebih buruk seandainya tekanan diteruskan jua?
Melakukan tekanan dada sewaktu CPR bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan lebih-lebih lagi jika ianya dilakukan oleh ahli pertolongan cemas awam ataupun masyarakat biasa. Seringkali, ramai yang mengelak untuk menekan dada mangsa yang tumbang dan tidak sedarkan diri kerana khuatir akan lebih mencederakan mangsa. Ini
merupakan satu kefahaman yang salah dan merugikan, Secara logiknya, jika tekanan dada dan kepatahan tulang yang mungkin berlaku itu amat berbahaya dan menakutkan,
sudah tentu pengamal-pengamal perubatan
seperti doktor dan jururawat turut berat hati
untuk melakukan CPR. Perlu diingat bahawasanya kepatahan tulang rusuk sewaktu CPR adalah komplikasi yang dijangka oleh semua pihak. Namun begitu, risiko kepatahan ini perlulah ditimbang tara dengan keperluan tekanan dada diteruskan ketika CPR. CPR dilakukan bagi memulihkan semula fungsi jantung dan otak si mangsa yang sedang berada dalam fasa kematian klinikal (apabila seseorang tidak bernafas dan degupan jantung terhenti). 
Perkara ini adalah lebih kritikal berbanding memikirkan mengenai tulang yang patah. Maka, seandainya anda mendengar bunyi kepatahan tulang ataupun mengesyaki yang tulang dada telah patah, teruskan menekan dada mangsa seperti biasa.
Antara tips penting yang perlu diamalkan sewaktu tekanan dada CPR ialah dengan memastikan tekanan dibuat menggunakan
teknik dan posisi yang betul. Hanya tumit tapak
tangan yang akan menekan dada mangsa setelah
diletakkan pada posisi yang disarankan garis panduan. Keraguan dan ketidakpastian akan hadir lebih-lebih lagi bila kita menekan dada
mangsa dan ini merupakan mangsa pertama
kita. Sudah tentu dengan tambahan dari rasa
panik akan membuatkan kita rasa serba salah
tatkala merasakan tekanan dada itu hadir dengan rasa patah pada tulang mangsa. Namun, kembali kepada konsep iaitu mengutamakan nyawanya daripada kepatahan tulang mangsa. Hal ini kerana tulang rusuk atau tulang yang patah boleh sembuh dengan sendiri, ia memerlukan rehat yakni masa serta nutrisi yang mencukupi untuk sembuh semula, namun nyawa yang pergi tidak mampu digantikan semula jika kita sendiri tidak ikhtiarkan sesuatu untuk mengekalkannya.